BUKIT MERTAJAM: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) sedia memberikan khidmat rundingan kepada majikan dan syarikat yang berminat melaksanakan aturan kerja anjal atau fleksibel.

Menteri berkaitan Steven Sim berkata ketika ini masih banyak majikan dan syarikat yang tidak mengetahui kaedah pelaksanaan aturan itu yang menurut beliau bukanlah perkara baharu, malah sudah termaktub dalam Akta Kerja 1955 dan berkuat kuasa sejak Januari tahun lepas.

"Ada dalam kalangan syarikat yang berminat nak buat (aturan kerja fleksibel) tapi tak tahu macam mana hendak buat jadi kita sediakan melalui Talencorp untuk berikan khidmat rundingan kepada mereka yang berhasrat (melaksanakan aturan itu) iaitu dari segi bagaimana peruntukan, undang-undang dan insentif contohnya galakan wanita balik ke tempat pekerjaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sim yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam ditemui selepas Majlis Tajaan dan Taklimat Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS) kepada Persatuan Bomba Sukarela Parlimen Bukit Mertajam di Pejabat Perkeso Pulau Pinang.

Beliau syarikat, majikan atau pekerja yang mempunyai sebarang kemusykilan atau pertanyaan berhubung pelaksanaan aturan kerja fleksibel itu boleh merujuk Jabatan Tenaga Kerja ( JTK) di kawasan masing-masing.

Sebelum ini Sim dilaporkan berkata pekerja di Malaysia boleh memohon kepada majikan aturan kerja fleksibel berdasarkan masa, hari dan lokasi bekerja mengikut Seksyen 60P dan 60Q Akta Kerja 1955 selain perlu diberi maklum balas dalam tempoh 60 hari dan sekiranya ditolak, majikan harus memberikan alasannya.

Menurut Seksyen 60P (1) akta itu, pekerja berhak meminta daripada majikan mereka untuk pengaturan kerja fleksibel bagi mengubah waktu bekerja, hari bekerja atau perubahan tempat bekerja tertakluk kepada Bahagian XII atau apa-apa yang terkandung dalam kontrak perkhidmatan.

Menurut akta itu juga di bawah 60Q (1), pekerja hendaklah membuat permohonan di bawah Seksyen 60P secara bertulis dan dalam bentuk atau cara yang ditentukan oleh Ketua Pengarah.

Baru-baru ini media melaporkan pekerja di Singapura kini boleh memohon bekerja empat hari seminggu, lebih banyak hari bekerja dari rumah dan masa kerja berperingkat bermula 1 Disember tahun ini.

-- BERNAMA